my stereo



past
Memories:
August 2010
December 2010
January 2011
March 2011
December 2011
May 2012

May 30, 2012 | 9:00 PM

Ulasan untuk aktiviti kokurikulum
Assalammualaikum , salam sejahtera . Hari ini saya ingin memulaskan suatu kebenaran untuk kawan-kawan blog dan memudahkan adik-adik mencari isi-isi untuk karangan esei . Banyak pihak berpendapat, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum hanya membazirkan masa. Namun, keterampilan dalam aktiviti tersebut mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang fizikal, akademik, sahsiah, dan kemasyarakatan.


Ulasan :


   Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan empat mekanisme utama dalam usaha membentuk insan yang seimbang dan harmonis. Empat mekanisme itu ialah keseimbangan dalam aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Demi mencapai aspirasi falsafah tersebut, Kementerian Pelajaran telah merangkakan suatu draf yang menyeluruh dalam sistem pendidikan yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Akademik dan kokurikulum menjadi dua komponen yang saling melengkapi dalam usaha membina masa depan pelajar yang cemerlang. Walaupun ada pihak yang masih meragui fungsi kokurikulum sebagai pelengkap kecemerlangan diri pelajar, saya tetap berpendapat bahawa bidang tersebut tetap menjadi saudara kembar kepada kurikulum kerana fungsinya secara tidak langsung untuk membentuk insan yang berjaya dan seimbang dalam hidupnya terutama dalam aspek fizikal, akademik, sahsiah, dan kemasyarakatan .

   Kendatipun, pelbagai pihak berpendapat bahawa penglibatan dalam aktiviti kokurikulum akan membazirkan  masa pelajar. Namun begitu, kegiatan ini amat berguna dalam hal membina ketahanan diri khususnya dalam aspek kesempurnaan fizikal yang sihat, sasa, tegap, dan segak. Kegiatan kokurikulum khususnya dalam bidang sukan, sukan lasak, dan seni pertahanan diri pasti menjadi sumber latihan jasmani yang tebaik untuk membina kecergasan tubuh badan, menghindari penyakit, dan mengurangkan stres. Hal seperti ini sudah terbukti apabila sejarah tamadun klasik seperti di Rom dan di Athens telah memberkan keutamaan dalam aktiviti riadah apabila sukan Olimpik yang terkenal hingga hari ini bermula di situ. Keadaan yang sama turut diberi penekanan dalam tamadun Islam apabila Nabi Muhammad SAW sendiri begitu menggalakkan umat-umatnya bergiat dalam sukan berkuda dan lawan pedang. Dari sudut kesihatan juga, kegiatan riadah dan bersukan boleh menjadi penebat utama serangan penyakit dan membentuk tubuh badan yang cantik dan kemas. Hal ini demikian kerana seluruh otot, tisu, dan sel kita akan berfungsi dalam sistem fisiologi yang teratur. Sementara itu, sistem perjalanan darah, pernafasan, penghadaman, dan perkumuhan dapat melaksanakan fungsinya dengan sempurna.

   Pepatah Arab ada menyatakan, ''otak yang cerdas terletak pada tubuh yang sihat''. Hal ini tidak dinafikan kebenarannya kerana otak akan dapat berfungsi pada kadar yang optimum apabila mendapat rangsangan dan perjalanan yang sempurna daripada keseluruhan sistem biologi dalam badan. Kelesuan, kemurungan, dan keletihan yang berpunca daripada sistem fisiologi yang tidak sempurna akan menjejaskan sistem perjalanan darah dan mengakibatkan badan kita kurang menerima oksigen. Fenomena ini tentulah memberikan kesan yang negatif kepada otak yang terpaksa mengawal keseluruhan sistem dalam badan agar berfungsi dengan baik. Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah sama ada bersukan, melakukan aktiviti kelab, atau sebarang aktiviti luar bilik darjah sudah pasti akan memberikan kesempatan kepada otak untuk memperoleh rehat yang cukup di samping dapat melupakan segala tekanan dalam rutin hidup seseorang untuk sementara waktu. Oleh hal yang demikian, anggapan yang menyatakan bahawa apabila seseorang itu terlibat secara aktif dalam sebarang aktiviti kokurikulum akan menyebabkan jadual belajarnya terjejas dan prestasi akademiknya merosot sudah tentu tidak munasabah. Sebenarnya, organ badan termasuk otak samalah seperti mesin dan komputer yang memerlukan suatu tempoh masa untuk berehat selepas seharian penat ''bekerja''.

   Keaktifan seseorang itu dalam apa-apa jua aktiviti kokurikulum turut membantu dirinya membina sahsiah dan jati diri yang sempurna. Hal ini terbukti apabila seseorang itu terlibat dalam kegiatan yang berfaedah, maka dirinya akan terdedah kepada suatu pembinaan sikap dan personaliti yang baik. Keaktifan dalam aktiviti  berpersatuan akan melatih individu tersebut mengenali rakan, cara-cara untuk bergaul, bijak menghormati orang lain, dan pandai mengawal perasaan. Kesemua kriteria ini hanya dapat dibentuk apabila seseorang itu menggabungkan dirinya dalam kegiatan kokuikulum yang sihat yang dianjurkan oleh pihak sekolah.Secara bandingannya, apabila seseorang itu menyertai sebuah persatuan atau kelab dan dia dilantik sebagai pengerusi, maka sudah tentu dia akan belajar memahami segala kehendak, emosi, dan pemikiran ahli-ahlinya, malah perkara yang lebih besar lagi individu itu perlu mahir berbicara, cekap mengendalikan mesyuarat, dan seterusnya pandai mentadbirkan sesebuah organisasi. Kehadirannya dalam organisasi tersebut telah membawa impak yang paling positif kepada dirinya.

   Peribahasa ada menyebut, ''hidup kita sandar-menyandar, bak aur dengan tebing''. Sebagai sebuah organ dalam entiti masyarakat, kita tidak boleh mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat. Nilai-nilai kemsyarakatan seperti tolong-menolong, hidup bersama, bertoleransi, dan saling memerlukan hendaklah dipraktikkan. Kita tidak boleh menjadi kera sumbang, hidup ''umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing'' dengan menyombongkan diri bak merak kayangan. Justeru, bolehkah kita mendekati masyarakat dan seterusnya bergaul mesra tanpa sebarang agenda sejak kita di bangku sekolah? Kita mungkin tidak dapat berbuat demikian tanpa kemahiran yang dipupuk sejak di bangku sekolah. Kehidupan bermasyarakat amatlah penting terutama sekali dalam senario rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan etnik. Sikap saling memahami dan menghormati adat resam dan kepercayaan kaum membolehkan kita terus hidup dalam suasana aman dan harmoni. Perdampingan kita yang rapat dalam aktiviti seperti gotong-royong, pertolongan cemas, kadet remaja, dan kegiatan-kegiatan yang bertemakan kemasyarakatan akan menjadi medan untuk seseorang itu cepat mesra dan pandai bergaul dengan pelbagai peringkat dan lapisan manusia.

   Berdasarkan salah satu falsafah pemikiran Imam al-Ghazali yang menyebut, ''Seseorang kanak-kanak yang diajarkan erti berkasih sayang, dia akan berlatih mengasihi orang lain''. Justeru, seseorang pelajar itu amat wajar diasuh sejak di alam pendidikan lagi agar mereka dapat membentuk diri menjadi insan sempurna sama ada dalam aspek mental, fizikal, kerohanian, atau kemasyarkatan agar mereka dapat menjadi insan yang berfungsi kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Oleh hal yang demikian, penglibatan dalam kegiatan kokurikulum pasti dapat mendedahkan pelajar tentang realiti kehidupan tersebut.




Sekian sahaja ulasan yang dapat saya ulaskan tentang kebenaran kokurikulum yang masih ada kalangan masyarakat menyatakan kokurikulum adalah satu aktiviti yang membazirkan masa anak.

Terima kasih .
0 comment(s)


Older Post